KUALA LUMPUR – Seramai 941 individu termasuk 118 kanak-kanak yang menjadi mangsa kes pemerdagangan orang telah berjaya diselamatkan oleh pihak berkuasa negara ini.Majlis Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (Mapo) Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui satu kenyataan media memberitahu, kesemua mangsa terbabit kini ditempatkan di rumah perlindungan.“Seramai 562 daripada mangsa terbabit pula merupakan golongan wanita.“Kerajaan sentiasa meningkatkan usaha membanteras pemerdagangan orang dan penyeludupan migran termasuk menambah baik perlindungan kepada mangsa, pendakwaan dan penguatkuasaan,” kata kenyataan itu hari ini.Sementara itu, kata kenyataan itu, sebanyak 392 kes pendakwaan dari tahun 2008 sehingga Februari 2012 di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 telah didakwa di mahkamah.Menurut kenyataan itu, sebanyak 235 kes sedang dibicara, 66 kes telah berjaya diselesaikan dan 57 lagi dikenakan sabitan kes.Selain itu, kata kenyataan tersebut, sebanyak 27 kes penyeludupan migran disiasat agensi penguatkuasa dari 15 November 2010 sehingga 31 Januari lalu melibatkan 43 tangkapan dan 616 migran yang diseludup.“Ahli MAPO memberi sumbangan dan komitmen aktif dalam membantu melaksanakan program-program berkaitan pemerdagangan orang dan penyeludupan migran,” tambah kenyataan itu.
KENAPA KANAK-KANAK?
Kanak-kanak didefinasikan oleh undang-undang dunia (International Laws) sebagai mereka yang berumur bawah 18 tahun. Sama ada bayi sehingga yang berumur 18 tahun, kanak-kanak boleh menjadi mangsa aktiviti jenayah pemerdagangan manusia yang bergantung kepada bentuk eksploitasi yang dikehendaki.
Kebiasaannya, kanak-kanak digunakan untuk meminta sedekah, manakala bayi dijual terutama kepada keluarga yang tidak mempunyai anak. Sebanyak 2.7 juta orang, yang mana kebanyakannya adalah wanita dan kanak-kanak, terbabit dalam kes pemerdagangan manusia di seluruh dunia setiap tahun. Keadaan fizikal dan pemikiran yang belum matang menyebabkan kanak-kanak lebih mudah dieksploitasi berbanding lelaki dan wanita dewasa.
KANAK-KANAK DIPERDAGANG UNTUK SEKS
Kanak-kanak mudah menjadi mangsa dalam permerdagangan manusia. Sindiket akan cuba memancing kanak-kanak dengan menggunakan pelbagai cara. Adalah amat sukar untuk mengenalpasti pergerakan sindiket atau individu yang menjalankan aktiviti pemerdagangan orang. Kebanyakan wanita yang menjadi pelacur adalah mangsa yang diperdagangkan sejak kanak-kanak.
Malah 75 hingga 80 peratus wanita yang menjadi pelacur adalah mangsa penderaan seksual semenjak dari kanak-kanak dan anggaran umur kanak-kanak yang menjejaki dunia pelacuran bermula seawal usia 13 tahun. Malahan terdapat juga kanak-kanak yang diperdagangkan untuk menjadi pelacur seawal umur 8 tahun.
PENYELESAIAN
Untuk membanteras pemerdagangan kanak-kanak, kerjasama daripada pihak berkuasa adalah yang paling penting. Pendekatan yang lebih tersusun perlu dilakukan kerajaan yang membabitkan semua agensi yang terlibat termasuklah Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam, Marin, dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Pihak tersebut haruslah bekerjasama dan mempunyai kemahiran khusus dalam mengendalikan kes yang membabitkan kanak-kanak.
Seterusnya, ibu bapa harus menjalankan tanggungjawab menjaga anak-anak. ibu bapa hendaklah melindungi anak-anak dari segala bentuk ancaman dan bahaya baik ketika di rumah, di luar rumah, di sekolah dan di tempat permainan. Selain itu, ibu bapa harus mewujudkan peraturan-peraturan yang mudah dan jelas untuk mengelakkan kemalangan dan kecelakaan dan pastikan bahawa peraturan tersebut diamalkan dan dipatuhi oleh setiap ahli keluarga supaya anak-anak mengikuti setiap peraturan-peraturan tersebut.
Ajar kepada anak-anak mengenai langkah-langkah menghindari kemalangan dan kecelakaan serta cara-cara mengenainya. Lakukan dan lakonkan setiap cara dan gaya bersama-sama anak jika perlu. Galakkan anak-anak untuk sentiasa berwaspada atau berhati-hati terhadap orang yang tidak dikenali atau yang mencurigakan terutamanya ketika tidak bersama-sama ibu bapa atau orang yang lebih dewasa.
0 comments:
Post a Comment